Sejak kebelakangan ini (kira sejak saya mengandung), Natasha kerap merap dengan saya - selalunya bila papa dia tak da.
Mungkin ada yang tak tahu merap tuh apa. Merap tuh maksudnya suka merengek dan juga suka melekap pada seseorang. Selalunya kita merujuk kepada situasi yang melibatkan budak-budaklah. Kalau bapak budak atau mak budak - buang tebiat dah nama dia, silap-silap makan pelempang jer. Hehehehe...
Jadi saya sebagai manusia biasa dan dah lumrahnya, saya akan jadi pening, geram, sakit hati dan segala bagai bentuk emosi negatif menujah ke dalam hati saya. Saya tabik kalau ada ibu-bapa yang tidak ada lansung perasaan ini terhadap anak dia - ingin saya belajar. Selalunya yang paling teruk emosinya, bila saya balik dari kerja, dahlah penat kerja, hadap kesesakan lagi, singgah kedai beli barang nak masak lagi (yang nih kadang-kadang, kalau nak masak dan kat umah tak cukup bahan) dan kemudian baru saya amik Natasha. Tak habis disitu, parking jer kereta - bukak pintu, kendong beg tangan, kendong beg Natasha, kendong barang basah dan kemudian kendong Natasha - jalan naik tangga sampai tingkat 1. Rumah kami apartment 4 tingkat, jadi tak da lift.
Sampai rumah, bukak pintu - letak Natasha kat depan TV, letak beg Natasha ngan beg tangan kat atas meja, letak barang beli tadi kat dapur. Bukak televisyen kat Natasha, bukak tudung. Selalunya saya akan sampai rumah dalam pukul 6.15 paling awal dan bermula kisah merap Natasha.
Sejak mengandung nih, kesabaran saya dengan Natasha memang selalu diuji dan setiap kalinya saya gagal. Saya pasti akan menengking Natasha dengan suara yang kuat, saya rasa ada kemungkinan besar jiran saya terdengar. Saya juga pernah membaling remote astro, telefon bimbit, dan barang mainan Natasha - sampai Natasha terkejut dan terus menangis. Saya pun pernah dukung Natasha, pastu saya tepuk kat kaki dia sambil marah kenapa suka sangat merap ngan merengek nih. Tapi ini dulu kerana saya tidak memahami kehendak dan kemahuan anak saya sendiri.
Di bawah ini, antara faktor, kenapa anak kita suka merengek:
1. Keadaan fizikal anak
Anak yang mengantuk, kepanasan, kedinginan, kelaparan, kehausan dan tidak sihat umumnya suka merengek.
2. Mencari perhatian
Kadang-kadang anak inginkan perhatian. Ini sering berlaku kerana ibu bapa biasanya memberikan perhatian kepada anak hanya bila dia merengek sedangkan tidak ketika anak berkelakuan baik. Akibatnya, si anak "belajar" bahwa keinginannya(perhatian) hanya akan dipenuhi sekiranya dia merengek.
3. Ingin menunjukkan kekuatannya
Anak kecil memiliki kecenderungan untuk menolak atau membantah terhadap ibu bapa. Anak-anak ingin menunjukkan bahwa dirinya pun mempunyai keinginan atau pendapat. Oleh itu, ibu bapa tidak perlu risau sekiranya dalam banyak perkara anak kecil kerap menolak dan lebih menyenangi pilihannya sendiri. Bila keinginannya tidak terpenuhi, ia akan menyebabkan anak merengek. Apalagi ramai ibu bapa yang bersikap memaksakan anak mengikut kehendak mereka karena merasakan ibu bapalah yang paling berkuasa.
4. Terluka perasaannya
Biasanya ini terjadi bila anak dimarahi. Ini juga akan membuatkan anak merengek dan mungkin tanpa sedar mengucapkan kata-kata yang menyakitkan, seperti, "Nina benci pada ibu." Ungkapan itu sesungguhnya hanya untuk menunjukkan rasa sedihnya. Namun, bila mendengar ucapan itu ramai ibu bapa menjadi semakin marah.
5. Tidak mampu melakukan sesuatu
Ibu bapa tanpa sedar sering meminta dan mengharapkan anaknya melakukan sesuatu seperti orang dewasa. Ketika makan, misalnya, tanpa sedar ibu bapa meminta atau mengharapkan anak makan dengan cepat dan tidak menumpahkan makanan, padahal anak kecil belum mampu melakukannya. Ini pun boleh menyebabkan anak-anak merengek.
Bagi kes saya, Natasha inginkan perhatian. Yelah, seawal pukul 7.30am saya akan menghantar Natasha ke Nursery dengan bekalan susu dan makanan yang saya sediakan (nanti saya kongsikan kisah makanan Natasha dan supplemen hariannya). Seharian dia di nursery dan saya akan hanya mengambil Natasha, paling awal 6.15. Ini bergantung kepada keadaan lalu lintas dan kesibukan kerja saya. Sekiranya, saya akan balik lewat - biasanya suami saya akan mengambil Natasha. Jadinya, memang dia nakkan perhatianlah - saya yang tak faham nih dulu, ingat dah boleh jalan - maksudnya dah boleh buat hal sendiri. Maksud saya boleh main sendiri, tengok tv dll. Silap rupanya. Jadi bila saya dah memahami anak saya, barulah saya tahuu bagaimana harus saya lakukan setibanya kami di rumah.
Kini, aktiviti saya di rumah akan bergantung kepada keadaan anak saya, kalau saya tengok dia macam ok jer - saya terus mandi dan terus bersolat. Kalau tak ok, saya akan lepak dulu dengan dia. Tapi buat masa sekarang, memang pilihannya adalah lepak dengan dia dulu. Saya tak buat apa pun sekadar ada di situ tengok dia main. Boringkan????
Berapa lama lepak tuh, lama tak lamalah - kalu hari kerja, Natasha tidur awal selalunya pukul 8.30 dia dah mengantuk. Jadi, kalu saya balik pukul 6.15 sampai pukul 8.30 lah dia merap dengan saya. Nak sembahyang Maghrib pun saya kena kendong dia, selalunya. Kalau tidak, dia akan melalak di tepi saya atau pun di depan saya. Saya pernah bersolat, ke kiri dan ke kanan. Rasa kelakarkan tapi itulah hakikatnya. Itu yang pening sampai berdenting tuh. Antara gambarannya (saya carik kat internet, sebab masa tuh tak teringat nak amik gambar...):
bermula dengan menangis macam nih....lepas tuh
Hah macam nih..macam kena dera.....
Lagi satu, kalau saya nak masak - antara dapur dan ruang tamu, kitorg letak pagar sebab Natasha dan juga kalau sepupu dia #dakhasan - mereka ni kaki punggah jadi pagar adalah penyelesaian bagi masalah itu. Tetapi pagar bukanlah penyelesaian kepada Natasha yang suka merap. Dia akan bersidai dekat pagar tuh macam biras-biras Syawal dalam cerita Ahmad Albab bila diorang kena masuk lokap. Hah sampai macam tuh sadisnya. Sudahnya, saya tak tahan - bagilah jugak dia masuk dapur. Tapi tidak berakhir di situ, dia akan menangis lagi minta saya dukung dia pulak. Berdeting-deting lagi pening kepala saya. Tapi, kalau saya tengah masak, saya biar jer dia melalak sampai saya dah habis masak ataupun dah dekat nak habis masak - baru saya dukung dia bawak pergi depan TV. Selang seli saya tinjau ke dapur macam kilat. Kalau belum masak, drama dah bermula - saya tak masak, saya layan dia dulu. Gambarannya, (sama jugak, tak teringat nak amik gambar dia - jadi saya carik di internet yang lebih kurang)
mula dia usha tapi sambil menangis lah jugak (cuma dapur saya pagar dia besi kaler putih bukanlah kayu macam dalam gambar nih..hehehe)
lepas dapat masuk, dia bersenggayut kat baju saya sambil meratap pilu., silap sebelum tuh dia selongkar almari dapur saya yang terbuka dulu. Lepas tuh barulah...
Pernah, saya layan Natasha dengan perut berkeroncong dan penat - saya kirim kat suami saya tapau, tapi saya tertidur dengan Natasha sampai pukul 10 malam. Baju kerja pun tak sempat tukar, tau-tau suami saya kejut suruh saya bangun makan. Dah bangun, perut lapar - memang makanan lah yang saya serbu dulu. Dah kekenyangan baru sedar tak mandi lagi - lepak jap, baru saya mandi. Selamat mengandung, jadi tak kisah lah mandi lepas makan sebab memang perut dah buncit pon. hehehehe...
Sekarang ini, bila apa yang saya lakukan di atas agak kurang berkesan - saya akan melarikan diri ke dalam bilik, tekup muka ke bantal dan saya akan menjerit. Bila saya dah reda sedikit, saya beristigfar dan berselawat. Bila dah ok, baru saya kembali kepada anak saya.
Antara lain, suami saya bagi pendapat dan juga adik ipar saya - menjadikan rumah kita mesra al-Quran. Di mana, setiap hari kita cuba membaca ayat-ayat al-Quran walaupun hanya satu muka surat. Jadi, ini adalah salah satu cara yang saya akan cuba istiqamah (insha Allah). Sebab bukan sahaja bagus untuk kententeraman jiwa anak dan kita tetapi jugak bagus untuk gelombang otak anak kita untuk berkembang. Ini adalah antara mukjizat al-Quran. Allahu Akbar.
Kenapa saya buat macam tuh? Sebab anak-anak kita terutamanya yang baru berumur setahun belum lagi faham sepenuhnya apa yang kita marah atau tau macam mana nak memberitahu kita apa yang diorang mahu. Jadi, tidak adil bagi saya atau bagi kita untuk melepaskan kemarahan kepada mereka. Betul tak??
Ini adalah sekadar perkongsian antara cara saya mengatasi anak saya yang suka merengek. Mungkin bagi sesetengah orang ianya sesuatu yang remeh tetapi yang remeh itulah cabaran saya. Memang tak mudah nak jadi seorang ibu, setiap hari pun saya masih belajar untuk menjadi ibu yang lebih baik dan lebih sabar. Saya memang tabik kalau seseorang ibu itu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi kerana saya masih membina kesabaran itu.
Akhir sekali, saya mungkin tidak sempurna tetapi saya harap saya cukup sempurna untuk menjadi ibu dan tauladan kepada anak-anak saya. Selain itu, semoga kisah ini dapat memberi manfaat kepada yang membacanya.
Rokakyah
19.11.2014